mutakhir

Program Wakaf Infaq Ramadan bantu penuntut

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd

Pix Farizul Hafiz Awang dihantar ke sistem

PENUNTUT institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan antara kumpulan yang memerlukan bantuan makanan sempena Ramadan disebabakan kekangan kewangan dihadapi mereka.

Justeru, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mewujudkan Program Wakaf Infaq Ramadan yang berperanan mengumpul sumbangan makanan daripada orang ramai terutama peniaga bazar Ramadan sebelum diagihkan kepada penuntut IPT

sekitar daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, antara institusi yang menerima manfaat tersebut adalah Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Beliau berkata, sumbangan makanan termasuk lauk, nasi, kuih dan hidangan lain akan dibuka di tiga lokasi pengumpulan sumbangan iaitu Kantin Rahimah di Stadium Darul Makmur, Pasar Raya Tunas Manja, Sungai Isap serta bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan.

“Mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh meletakkannya di khemah yang disediakan bermula 3 petang hingga 8 malam.

“Kita faham ada sesetengah pelajar yang menghadapi kekangan kewangan tinggal di kampus jadi sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka berbuka dengan juadah yang memberi manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wakaf Infaq Ramadan di bazar Mahkota Square, semalam.

Abd Rahim berkata, Wakaf Infaq Ramadan yang memasuki tahun keempat juga bertujuan mengelak pembaziran makanan yang seringkali berlaku pada Ramadan.

“Saya harap ia dapat diteruskan bukan saja pada bulan Ramadan tapi pada bulan lain juga, bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik,” katanya.

Katanya, usaha itu mendapat kerjasama Drugs Intervention Community (DIC) Pahang yang turut mengagihkan sumbangan kepada Rumah DIC Batu 5, Rumah Kanak-kanak Casa Harapan, Rumah Rawatan dan Penjagaan Wanita Casa Femina, Pusat Tahfiz Bukit Bayroute, dan Rumah Penjagaan Lelaki Casa Villa Sungai Soi di Kuantan.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 1:18pm
d