mutakhir

Konvoi seludup rokok RM1.8 juta diserbu

Oleh Badrul Kamal Zakaria

TERHALANG lampu isyarat merah menyebabkan lori lima tan membawa 11,000 karton rokok putih tidak sah ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman semalam.

Dalam serbuan di lampu isyarat Bakri Batu 3, Muar pada 3.30 pagi itu, rokok jenis VSON dianggarkan bernilai RM1.892 juta dirampas.

Sebelum itu sepasukan polis dari PPM Bukit Aman dibantu Unit Gempur Marin (UNGERIN) melakukan intipan dan pemantauan di kawasan sekitar Parit Sulong sebaik menerima maklumat risikan dan mengesan lori lima tan dalam keadaan mencurigakan.

Lori itu diiringi dua kereta secara berkonvoi di depannya namun konvoi itu terputus apabila kedua-dua kereta melepasi lampu isyarat manakala lori terbabit terpaksa berhenti lampu isyarat merah sebelum diserbu pihak berkuasa.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, sebelum itu PPM Bukit Aman dan UNGERIN mengekori lori terbabit yang menuju Muar dengan diiringi dua kenderaan lain.

“Selepas mengekori lori itu sejauh 30 kilometer, pasukan PPM kemudiannya membuat serbuan di persimpangan lampu isyarat di Bakri Batu 3 pada 4 pagi.

“Pemeriksaan terhadap lori itu menemui sejumlah kotak coklat yang dibungkus dengan plastik lut sinar dan diletak di bahagian belakang lori,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan PPM Wilayah Dua Muar di Muar hari ini.

Khon Chiang berkata, siasatan lanjut menemui 11,000 karton rokok putih jenis VSON-G dan VSON-R yang dianggarkan bernilai RM1.892 juta.

“Siasatan mendapati rokok itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan darat dan kita percaya semua rokok ini akan dibawa ke Lembah Klang.

“Selain itu, kita menahan pemandu lori berusia 42 tahun dan merampas lori yang dianggarkan bernilai RM110,000 bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut dan membawa barang yang dilarang, sabit kesalahan boleh didenda 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 2:31pm
d