mutakhir

Ziarah kubur isteri pengubat rindu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEORANG tukang rumah masih setia mengunjungi pusara isterinya biarpun sudah lima tahun wanita itu meninggal dunia akibat penyakit gout kronik.

Biarpun kubur Aminah Wahab terletak di Kampung Gelugor Raja iaitu lebih 10 kilometer dari rumahnya di Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu, ia tidak menghalang Ramli Mohd, 58, mengunjungi pusara itu setiap pagi terutama pada Ramadan.

Ramli berkata, dia tidak dapat melupakan segala pengorbanan arwah isteri yang sanggup menjalani kehidupan bersamanya.

“Arwah sanggup hidup bersama dan pengorbanannya itu membuatkan saya terlalu sayang kepadanya.

“Jadi tidak hairan sehingga sekarang saya masih berulang-alik ke kubur kerana merinduinya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Anak Yatim dan Asnaf Fakir Miskin di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Ramli berkata, hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sembilan anak berusia antara sembilan tahun hingga 31 tahun dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

“Saya bekerja untuk menyara tiga lagi anak masih bersekolah iaitu, Nur Anisa, 9, Hakim Mustakim, 13, dan Nur Atirah, 14.

“Jika diikutkan, pendapatan tidak menentu hasil mengambil upah membuat rumah dan kerja buruh lain memang tidak mencukupi, jadi apabila ada pihak menghulurkan sumbangan, ia memang membantu kami sekeluarga,” katanya yang merindui air tangan arwah isterinya menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Sham Fadzli Yusof berkata, seramai 170 anak tahfiz dan golongan asnaf fakir miskin diraikan pada majlis itu.

“Setiap tahun kami meraikan golongan kurang bernasib baik di sekitar Kampung Duyong dan Pulau Ketam dengan memberi tumpuan kepada penduduk miskin.

“Tahun ini, anak tahfiz Madrasah Kubang Bujuk diraikan pada majlis berbuka puasa selain turut menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 1:31am
d