mutakhir

Anwar malas layan Takiyuddin

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan tuduhan pemimpin pembangkang yang menggelarnya sebagai banduan dan tidak layak memimpin negara.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu beliau mempunyai banyak lagi urusan lain perlu diuruskan dan meminta media berhubung terus dengan peguamnya untuk mendapatkan komen.

“Saya banyak lagi kerja lain daripada nak layan dia (Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan), baik tanya peguam (saya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Mahabbah Ramadan di rumah bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57 di Setapak, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Takiyuddin secara terbuka menggelar Anwar sebagai banduan.

Takiyuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu pada Rabu lalu ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Sandakan yang mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana berstatus banduan.

Ditanya, adakah beliau akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Takiyuddin, Anwar hanya meminta media bertanyakan soalan itu kepada peguamnya.

“Tanya peguamlah,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Anwar berkata, program Mahabbah Ramadan itu adalah program biasa bagi menziarahi masyarakat.

“Marilah kita doakan bagi dia (Yazit) sihat dan Nik Nazmi akan ikuti perkembangannya,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 1:42am
d