mutakhir

Jangan cepat percaya sangat

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG guru dan pemandu lori kerugian lebih RM6,000 selepas terjerat dengan sindiket penipuan pemberian hadiah istimewa oleh rakan dari luar negara yang dikenali melalui media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama membabitkan guru wanita berusia 34 tahun kerugian RM2,950 selepas berkenalan dengan suspek kononnya warga Scotland.

Katanya, mangsa berkenalan dengan suspek pada 24 April melalui Instagram sebelum berhubung dengan aplikasi WhatsApp.

“Suspek mendakwa ada menghantar bungkusan sebagai hadiah perkenalan dan mangsa menerima panggilan kononnya daripada ejen penghantaran pada 5 Mei lalu meminta membayar pelepasan cukai untuk barangan berkenaan.

“Mangsa yang tanpa curiga dan usul periksa memindahkan RM2,950 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya membuat bayaran bagi lewat bayar, tetapi tidak mengikut arahan itu dan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pemandu lori berusia 50 tahun kerugian RM3,400 selepas berkenalan dengan suspek wanita kononnya warga Hong Kong.

Mohd Wazir berkata, mangsa lelaki itu berkenalan dengan suspek pada 28 April lalu sebelum suspek mendakwa ada menghantar hadiah mewah sebagai tanda perkenalan.

“Suspek memberitahu akan menghantar hadiah pakaian, jam tangan, kasut dan telefon bimbit pada 1 Mei lalu dan pada tarikh yang sama menerima panggilan perlu membayar RM3,400 jika mahu mendapat barangan berkenaan.

“Khamis lalu, mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya.

Katanya, suspek meminta mangsa memasukkan RM6,500 bagi mendapatkan barang berkenaan dan mangsa yang mula rasa curiga membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 10:54am
d