mutakhir

Keto sapo nih?

Oleh Syaherah Mustafa

SEBUAH kereta Honda Civic bernombor plat pendaftaran Thailand dengan lapan kesan peluru ditemukan di dalam garaj sebuah rumah di Kampung Banggol Stol, Rantau Panjang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya terus membuat siasatan di lokasi sebaik mendapat maklumat pada jam 2.40 petang.

“Hasil pemeriksaan, terdapat lapan kesan tembakan di kereta berkenaan dan berdasarkan maklumat penduduk, pemilik kenderaan itu dipercayai seorang lelaki yang melarikan diri sebaik meletakkan kenderaan di situ.

“Setakat ini kita masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu atau pemilik kenderaan berkaitan kejadian itu.

“Malah, penduduk kampung juga tidak mendengar sebarang tembakan untuk mengaitkan dengan kesan peluru pada kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular di WhatsApp mengatakan berlaku kejadian berbalas tembakan antara polis dan penjenayah dari Thailand di Kampung Banggol Stol.

Penjenayah terbabit dikatakan terkena satu das tembakan namun sempat melarikan diri dan dipercayai bersembunyi di Kampung Banggol Chicha.

Mengulas lanjut, Abdullah menafikan berlaku kejadian berbalas tembakan seperti yang tular sejak awal pagi tadi dan menasihatkan penduduk supaya tidak panik.

“Setakat ini kita masih melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian serta menggerakkan anggota bagi mengesan pemilik kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 12:38pm
d