mutakhir

Tahan 10 warga asing tangkap ikan

Oleh Siraj Mohd Zaini

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan 10 lelaki warga asing disyaki menangkap ikan tanpa lesen serta tiada dokumen pengenalan diri sah di perairan Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tangkapan hasil operasi dijalankan kira-kira 11 malam pada jarak 0.5 batu nautika dari pulau berkenaan.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan lima lelaki iaitu empat warga Indonesia dan seorang Myanmar di dalam sebuah bot yang mencurigakan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tangkapan kedua membabitkan lima lelaki iaitu tiga warga Indonesia dan dua Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua warga asing berkenaan menggunakan dua bot nelayan tempatan dan sedang leka mengaut hasil tangkapan ikan.

“Mereka juga didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Semua tangkapan membabitkan lelaki berusia 19 hingga 53 tahun dan dua bot nelayan tempatan dibawa ke ibu pejabat Maritim Selangor untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 2:58pm
d