mutakhir

Doktor pakar bincang esok

Oleh Fairuz Zaidan

KUMPULAN doktor pakar bedah United Kingdom (UK) akan berbincang esok sebelum memberikan sebarang maklum balas keputusan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) daripada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.

Terdahulu, Ainul Mardhiah berusia lapan bulan yang menderita kanser mulut Germ Cell Tumor dibawa oleh kedua ibu bapanya menjalani CT Scan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu seperti diminta oleh pakar bedah rakyat Malaysia yang berpangkalan di UK, Dr Nur Amalina Che Bakri sebelum ini.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, dia dan isteri, Nurul Erwani Zaini, 24, terus berhubung rapat dengan Dr Nur Amalina menerusi aplikasi WhatsApp, selain diminta untuk membuat persediaan untuk pembedahan Ainul Mardhiah di sana.

“Kami saling berhubung (dengan Dr Nur Amalina) melalui WhatsApp termasuk sudah memberikan keputusan CT Scan kepadanya.

“Dr Amalina kata doktor pakar di sana akan berbincang esok. Dr Amalina juga meminta kami untuk buat persediaan pergi ke sana (UK).

“Insya-Allah, jika tiada halangan kami akan berangkat dalam masa terdekat ini,” katanya, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, sekumpulan pakar dari UK sedia melakukan pembedahan terhadap Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang melahirkan perasaan simpati terhadap penderitaan bayi perempuan itu turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 3:34pm
    d