mutakhir

Dua sahabat dikhuatiri lemas

Oleh Erika George

DUA lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang mereka naiki karam di Sungai Batu Keling, Hulu Bakun di Belaga, semalam.

Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 2.49 petang.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hanya dapat dilancarkan pada hari ini berikutan lokasi kejadian yang agak jauh di Hulu Bakun dan mengambil masa kira-kira enam jam perjalanan dari Belaga.

“Usaha pencarian pada hari pertama bermula 9 pagi membabitkan anggota polis, bomba, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sehingga petang ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Brodie berkata, difahamkan seorang daripada mangsa dikenal pasti sebagai Wahab Jabu, 50, yang berasal dari Kampung Tellian Ulu, Mukah, manakala seorang lagi rakannya belum diketahui identiti.

“Ketika kejadian, difahamkan kedua-dua mangsa sedang memunggah barang di jeti itu dan Wahab berada dalam perahu, manakala rakannya di jeti.

“Kejadian itu berlaku apabila rakannya tersalah pijak tepi perahu sehingga perahu itu terbalik dan karam seterusnya menyebabkan kedua-dua mangsa hanyut dibawa arus deras,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 4:48pm
d