mutakhir

Senarai ahli 'kartel dedak'

Oleh Hairulazim Mahmud

SELEPAS menghebohkan berkaitan ‘kartel dedak’ dalam PAS, Zaharudin Muhammad yang juga menantu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menamakan lima anggota kumpulan itu.

Menggunakan medium laman sosial Facebook, beliau menyenaraikan lima ahli dengan kod nama masing-masing iaitu ‘Dr Hussam II (kepala no 1)’, ‘Mr NT’, ‘Mr KT’, ‘Mr KH’ dan individu yang kelima sebagai ‘semua dah tahu’.

Katanya, itulah perosaknya iaitu ‘kartel dedak’ yang hanya satu kepala daripada lima ketua yang juga seorang sahaja daripada sejuta ahli PAS.

Istilah ‘kartel dedak’ itu dipercayai merujuk kepada kumpulan yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

“Yang nombor lima, sahabat yang bagus. Cuma terlalu ikut kawan-kawan dan jadi ‘front liner’ (barisan hadapan) bela kawan. Yang dia tahu tak banyak pun.

“Ramai-ramai ini, nombor satu itu saja saya fokus. Sebab yang dia buat ‘Mr2’ (individu nombor 2) sampai ‘Mr5’ (individu nombor 5) tak tahu pun.

“Dia maha licik mengalahkan Hussam (Musa). Sapu kiri kanan. Dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak,” dakwanya.

Kenyataan Zaharudin itu dibuat ketika PAS di ambang pemilihan parti pada Muktamar Tahunan PAS yang akan diadakan pada 21 Jun ini di Kuantan.

Dalam pada itu, Zaharudin menegaskan bahawa kes yang dibangkitkan itu tiada kaitan dengan fitnah kononnya parti menerima dedak sebanyak RM90 juta daripada UMNO.

Sebaliknya, katanya, kes-kes itu dalam skala tidak melanggar undang-undang tetapi menyalahi moral, agama dan integriti parti.

“Misi saya mudah, dedah kartel dedak selamatkan pimpinan dan parti daripada terpalit imej bohong dan dedak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meremehkan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bahawa PAS akan memanggilnya berikutan kenyataan ‘kartel dedak’ itu.

“Masa kes dulu, berita tersebar kata nak panggil juga, saya yang lebih-lebih tanya bila nak panggil dan bertemu. Sampai akhirnya memang tak ada pertemuan,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 4:50pm
d