mutakhir

Pencinta si bulus berguru di 'Meow Island'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SERAMAI 25 pencinta kucing jalanan di daerah ini tidak melepaskan peluang ‘berguru’ dan merasai sendiri suasana penjagaan kucing terbiar di ‘Meow Island’, Pulau Keladi, Pekan.

Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang Jurina Abdul Rani berkata, Meow Island yang ditubuhkan sejak 2013 oleh Tengku Lokman Nadzira Tengku Husin bertujuan menyelamatkan kucing jalanan yang tidak terurus selain memberi pendedahan kepada individu yang berminat untuk menimba ilmu penjagaan haiwan itu.

Menurutnya, lawatan yang dianjurkan baru-baru ini bagi memberi pendedahan kepada ahli kelab dan pencinta kucing mengenai penjagaan yang betul.

“Walaupun kucing jalanan ia perlu diuruskan dengan ilmu dan cara yang betul. Tengku Lokman Nadzira yang mesra dipanggil Ayah Engku turut berkongsi tips untuk menjaga kucing secara terbuka dan bukan hanya jaga kucing di dalam sangkar.

“Lawatan ini memberi pendedahan berguna kerana kita dapat mengetahui bagaimana pusat ini (Meow Island) diurus dan dijaga,” katanya.

Sementara itu, Jurina berkata, kelab itu yang mempunyai 40 ahli sejak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Januari lalu berperanan membantu kucing ‘gelandangan’ dengan memberi makan dan merawat haiwan itu jika ditemui dalam keadaan sakit.

Menurutnya, antara kawasan sering dilawati ahli di sekitar daerah ini ialah di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan serta kawasan gerai makan yang menjadi tumpuan haiwan itu.

“Kami harap dapat menjalinkan kerjasama dengan Ayah Engku untuk program akan datang, masyarakat harus diberi pendedahan bahawa kucing jalanan juga memerlukan perhatian dan bantuan manusia,” katanya.

Jurina turut mengalukan mereka yang berminat membantu kucing terbiar ini bekerjasama dengan mereka dan berharap lebih ramai masyarakat mempunyai sifat ihsan terhadap kucing.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 6:20pm
d