mutakhir

Kantoi tak sampai 12 jam

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

DUA lelaki ditahan tidak sampai 12 jam selepas kejadian samun sebuah banglo di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Kedua lelaki berusia lingkungan 25 dan 30 tahun dalam dua serbuan di dua buah rumah di Kampung Sungai Penchala oleh Ketua Polis Balai TTDI bersama pegawai penyiasat kes serta pasukan khas Balai TTDI.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, wanita berusia lingkungan 60-an yang juga ibu kepada pemilik kediaman berkenaan diugut dengan pisau supaya menyerahkan barangan berharga.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, suspek mengikat pasangan suami isteri pemilik banglo berkenaan, anak dan ibunya.

Menurutnya, ibu isteri mangsa turut mengalami cedera ringan di jari selepas terhiris pisau yang digunakan suspek.

“Suspek kemudiannya berjaya melarikan beberapa utas jam tangan serta wang tunai dan jumlah kerugian dialami mangsa dianggarkan kira-kira RM60,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain berjaya menahan dua lelaki berkenaan, Ruslan berkata, polis turut menjumpai beberapa barangan termasuk empat telefon bimbit, tiga utas jam tangan serta beberapa dokumen milik mangsa.

Menurutnya, pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu turut ditemui.

“Semakan rekod juga mendapati seorang daripada lelaki berkenaan mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk samun, pecah rumah dan curi,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, penahanan dua lelaki berkenaan juga dipercayai dapat membantu menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah di sekitar TTDI.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 10:05pm
d