mutakhir

Kentung lapan dekad

Oleh Ahmad Ismail

USIANYA hampir mencecah lapan dekad namun alatan kentung lama ini masih terus berjasa memaklumkan masuk waktu azan kepada kariah Masjid Kampung Gudang Garam di sini.

Imam masjid itu, Noor Hisham Mohd. Noor, 43, berkata, ketung kayu diperbuat daripada kayu pokok leban wujud di masjid itu seawal 40-an.

Menurutnya, peranan kentung itu terus dikekalkan walaupun binaan masjid lama digantikan dengan masjid baharu beberapa tahun lalu.

“Mengikut sejarah, kentung dan kayu pemukulnya dihasilkan penduduk tempatan bagi kegunaan memaklumkan masuk waktu solat selain kejadian yang berlaku sekitar kampung ketika zaman darurat dan penjajahan Jepun dahulu,” katanya ketika ditemui di Masjid Gudang Garam, Segamat di sini, semalam.

Katanya, bukan semua penduduk dibenarkan sesuka hati memukul kentung itu berikutan ia mempunyai rentak khusus.

“Tiap rentak pukulan kentung membawa maksud tertentu umpamanya kecemasan dan darurat. Bunyi kuat pula membawa tanda berlaku kematian manakala rentak sederhana menandakan masuk waktu solat, berbuka dan sahur

“Pembuatan kentung hanya boleh dilakukan tukang kayu mahir yang berpengalaman dan tahu kayu terbaik untuk menghasilkan bunyi diingini,” katanya.

Dia berkata, selain kayu leban, kayu pokok cempedak dan pulai turut sesuai digunakan untuk membuat kayu kentung.

Menurutnya, kentung pula digantung pada alang di luar masjid bagi memudahkan ketukannya didengar.

“Selain itu faktor arah tiupan angin turut penting bagi memastikan kesan bunyi ketukan mampu didengar seluruh penduduk kampung.

“Walaupun kini terdapat alatan pembesar suara namun fungsi kentung tetap utuh dan tidak lapuk ditelan zaman. Generasi muda mampu mempelajari, melihat dan menyentuh kentung di masjid ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Masjid Gudang Garam yang juga pesara guru, Bardin Uteh, 60 berkata, pengalamannya mengajar di Kapit, Sarawak sekitar 1975 mendekatkannya dengan fungsi kentung.

Menurutnya, kegunaan kentung amat sinonim dalam kalangan penduduk di sana ketika itu.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 6:05am
d