mutakhir

Ganasnya kau nyah!

Oleh Hadzlihady Hassan

BERANG dimaki anggota polis yang menolak pelawaan melakukan seks dengannya, seorang mak nyah bersama empat rakan lelaki dipercayai membelasah dan menyamun mangsa di Lebuh Chulia di Georgetown, semalam.

Dalam kejadian 11 malam itu, anggota polis berusia 30-an terbabit cedera di tangan, muka serta badan dan kerugian kira-kira RM2,000 selepas wang tunai serta barang berharga miliknya disamun kumpulan berkenaan.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa dikatakan berjalan seorang diri selepas keluar dari sebuah kedai sebelum dia ditegur pondan terbabit yang mahu menawarkan khidmat seks kepadanya.

“Mangsa menolak permintaan itu serta memakinya membuatkan pondan terbabit berang dan menghubungi empat rakan lelaki.

“Sejurus rakannya tiba, mereka menarik mangsa ke belakang sebuah kedai dan terus membelasahnya menggunakan topi keledar,” katanya.

Sumber berkata, mangsa cuba melawan, namun suspek berjaya merampas beg pinggang yang mengandungi pelbagai barang berharga termasuk kad kuasa milik anggota polis terbabit.

“Setakat ini, pondan terbabit sudah ditahan dan polis masih memburu empat lagi rakannya yang terbabit dalam kes belasah dan samun itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 10:45am
d