mutakhir

Reman Timbalan Pengarah Kanan DBKL disambung

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

TEMPOH reman Timbalan Pengarah Kanan sebuah jabatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua lagi suspek yang disiasat berhubung kes menerima dan memberi rasuah disambung empat hari lagi, bermula hari ini.

Selain itu, seorang bekas Setiausaha Akhbar Menteri dan seorang lagi orang awam yang turut direman sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Mereka dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah sambung dan bebas reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Kesemua mereka sebelum ini direman selama lima hari bermula 9 Mei lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menemukan wang tunai RM1 juta di rumah milik pegawai kanan DBKL terbabit di Ukay Perdana, Ampang.

Penemuan wang tunai itu susulan penahanan kesemua suspek yang berusia antara 41 hingga 57 tahun itu di sebuah restoran sekitar Kuala Lumpur antara 12 hingga 12 tengah malam, pada 8 Mei lalu.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal SPRM, Timbalan Pengarah berkenaan didakwa menerima RM200,000 daripada kontraktor sebagai balasan memberikan kerja penambahbaikan infrastruktur di bawah seliaannya.

Kontraktor terbabit bukan sahaja perlu mengeluarkan wang tetapi difahamkan mereka turut dipaksa membeli barangan mentah kejuruteraan dengan harga dua kali ganda daripada syarikat proksi milik suspek.

Kontraktor terpaksa berbuat demikian setelah memenangi tender DBKL dengan bantuan Timbalan Pengarah agensi pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 2:40pm
d