mutakhir

3 suspek pengganas Daish diburu

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini memburu tiga suspek pengganas Daish yang dipercayai terbabit merancang serangan di rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, ketiga-tiga individu berkenaan membabitkan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia.

Katanya, suspek pertama adalah warga tempatan dikenali sebagai Syazani Mahzan, 27, dengan alamat terakhir di Taman Bedong, Bedong, Kedah.

“Suspek kedua warga tempatan dikenali sebagai Muhamad Nuurul Amin Azizan, 27, dengan alamat terakhir di Taman Bedong, Kedah.

“Manakala suspek ketiga yang sedang dikesan adalah lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Fatir Tir yang sebelum ini tinggal di Jalan Toman, Banting, Selangor,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Abdul Hamid berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan S Manivanan di talian 017-3278435 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: May 13, 2019 @ 6:44pm
d