mutakhir

'Kalau saya mati, siapa jaga Asrul?'

Oleh Nor Amalina Alias

WALAUPUN dimamah usia, namun dengan kudrat yang masih bersisa, warga emas tetap setia mencurahkan kasih kepada anaknya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Lebih menyedihkan, Gayah Mamat, 68, terpaksa ‘mengurung’ diri dari dunia luar demi sentiasa bersama dengan anaknya, Mohd Asrul Hafiz Mahmood, 28.

Warga emas itu hanya keluar rumah beberapa minit bagi membeli keperluan harian dan makan minum, selebihnya menghabiskan masa di dalam rumah demi keselamatan Asrul yang mengalami sindrom down sejak lahir.

“Bila nak keluar, saya terpaksa kurung anak sekejap di rumah. Kalau nak pergi jauh, saya bawa dia naik kereta peninggalan suami yang dipandu penduduk.

“Kalau Asrul buat perangai, saya tak dapat keluar rumah dan kami terpaksa berlapar atau makan apa yang ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Bakat, di Bachok, hari ini.

Gayah berkata, rumahnya juga dikelilingi pagar besi di setiap penjuru kerana anaknya suka merosakkan barang selain turut makan apa yang ada di depan matanya termasuk daun kering atau kertas.

“Hati ibu mana tak sedih apabila terpaksa kurung anak, tapi demi keselamatan dia, saya terpaksa berbuat demikian. Malah hidup kami dua beranak hanya berlegar sekitar rumah ini sahaja,” katanya yang terpaksa berjaga 24 jam.

Katanya, sebelum ini dia dibantu arwah suami, Mahmood Awang Mat, 80, sebelum suaminya meninggal dunia akibat penyakit tua Disember lalu.

“Sejak itu, saya dan anak hanya bergantung pada simpati penduduk kampung yang sudi membantu membeli keperluan harian atau membawa anak ke klinik jika sakit.

“Anak saya seorang lagi hasil perkahwinan terdahulu juga turut membantu meringankan beban kami selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.

“Paling sedih bila anak sakit, sekarang Asrul sakit gigi dan saya terpaksa beli ubat tahan sakit, jika tidak dia akan menjerit dan menangis sepanjang hari,” katanya.

Katanya, dia sentiasa memikirkan masa depan anak lelakinya memandangkan matanya kini semakin rabun dan kudratnya semakin lemah.

“Saya banyak kali fikir bila saya mati siapa yang akan jaga Asrul, itu yang buat saya sedih, tapi saya serah segalanya pada Allah,” katanya yang mempunyai penyakit darah tinggi.

“Sebagai terapi diri, saya suka menanam pelbagai jenis sayuran seperti terung, cili pada dan pisang bagi mengubat kedukaan.

“Biasanya, selepas mandi dan memberi Asrul makan dan minum, saya akan ke kebun kecil di tepi rumah,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 10:20am
d