mutakhir

Kebajikan Muslim Cina Sarawak dibela

Oleh Khalid Latip

KEBAJIKAN masyarakat Cina yang beragama Islam di Sarawak terus dibela dengan penubuhan Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) yang kini cawangannya turut ditubuhkan di Sarikei.

Pengerusi PERKHTIS Cawangan Sarikei Fairul Zuandi Firdaus Deng berkata, cawangan Sarikei ditubuhkan pada Mac lalu selepas penubuhan pertamanya di Kuching dua tahun sebelum itu.

Beliau berkata, PERKTHIS bukan hanya mewakili suara masyarakat Cina Muslim di Bahagian Sarikei tetapi juga menjadi platform bagi menangani pelbagai isu membabitkan komuniti berkenaan.

“Setakat ini kami mempunyai kira-kira 20 ahli dan sedang menarik lebih ramai ahli baharu.

“Penubuhan PERKTHIS bertujuan membela masyarakat Cina Islam dalam aspek kebajikan dan pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program agihan juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Sarikei, kelmarin.

Fairul berkata, pihaknya juga merancang menganjurkan pelbagai aktiviti untuk manfaat ahli selain menarik penyertaan golongan muda.

Aktiviti dianjurkan dengan kerjasama Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Sarikei itu adalah antara inisiatif untuk mengimarahkan sambutan Ramadan bersama masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.

Sehubungan itu, Fairul berkata, lebih 100 bungkusan juadah berbuka puasa diedarkan kepada orang ramai secara percuma bermula jam 4 petang hingga program berakhir pada jam 6 petang, kelmarin.

“Ini adalah program kedua bagi PERKTHIS selepas penyertaan kami dalam Kursus Pengurusan NGO Islam peringkat Bahagian Sarikei, April lalu.

“Saya bersyukur sambutannya cukup mengalakkan, malah ahli jawatankuasa memberikan kerjasama begitu baik,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 12:05pm
d