mutakhir

Serabut tengok iklan Ahlong [METROTV]

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Melaka melupuskan 3,527 iklan haram membabitkan pinjaman wang tidak berlesen ceti haram (Ahlong) sekitar kawasan pentadbirannya, sejak Januari hingga hari ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Mohd Rafee Ibrahim, berkata, ‘pembersihan’ iklan itu banyak dilakukan di kawasan taman perumahan bagi tujuan membanteras pemasangan iklan haram.

“Statistik terbabit menyaksikan sedikit penurunan berbanding 3,529 iklan bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Justeru, saya menyarankan orang awam dan persatuan penduduk, menurunkan papan iklan haram,” katanya, pada sidang media Majlis Pelupusan Iklan Haram di pejabat MPHTJ, di Melaka Mall tadi.

Terdahulu, beliau mempengerusikan taklimat berhubung iklan haram yang turut dihadiri Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) negeri, Mohammad Arif Haron dan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Inspektor Wan Andika Ibrahim.

Katanya, semua iklan itu (haram) diambil tindakan mengikut Undang-undang Kecil Iklan MPHTJ 2010 dan Undang-undang Kecil Vandalisme MPHTJ 2010.

Sementara itu, Mohd Rafee berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan SKMM bagi mendapatkan bantuan menamatkan talian nombor telefon yang diiklankan pada promosi pinjaman wang tanpa lesen, jika ia dari sumber yang sah.

“Kadangkala, nombor yang diiklan adalah ‘dummy’ (palsu), namun SKMM berjanji jika sumber itu betul, mereka akan membatalkan nombor telefon pendaftaran itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Rafee turut mengumumkan aspek baharu bagi kontrak pemasangan iklan terbabit bersama pihak majlis menurunkan iklan digantung, kain rentang dan poster haram.

“Biasanya mereka memberi kerjasama namun tidak ditekankan dalam borang sebut harga, tapi selepas ini akan disebut sekali aspek kerja yang terpaksa mereka lakukan ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 3:05pm
d