mutakhir

Hanya menegur, bukannya mengganggu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“TIADA gangguan pun, kadangkala ada perselisihan pendapat dan mereka tegur,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulas dakwaan mengaitkan pegawai lantikan politik mengganggu tugas penjawat awam.

Menurutnya, dakwaan itu timbul disebabkan salah faham dan percanggahan pendapat ketika proses melaksanakan tugas.

Katanya, tidak wujud unsur mengganggu penjawat awam bertugas, sebaliknya pegawai lantikan politik itu hanya membuat teguran.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda mendakwa masih terdapat pegawai lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam meskipun sudah genap setahun Malaysia baharu.

Dakwanya, menerima aduan berkenaan perkara itu yang disifatkan tidak wajar berlaku.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan pihak tertentu yang mahu kerajaan menyiarkan dapatan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 kepada awam, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan itu terlebih dahulu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tiada keperluan untuk membangkitkan cerita lama khususnya, membabitkan insiden rusuhan berkenaan dan berpendapat ia pandangan segelintir pihak sahaja.

Bagi mengulas penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Dr Mahathir berkata, beliau amat bersyukur kerana isu bantahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada suruhanjaya itu berjaya diselesaikan.

“Tahniah kepada Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Hamid Bador yang mana kedua-duanya berjaya berbincang dan menjelaskan kepada wakil persatuan polis mengenai kepentingan mewujudkan IPCMC bagi memulihkan imej PDRM di mata rakyat.

“Saya percaya dengan penubuhan IPCMC, bukan sahaja imej, malah kebajikan pihak polis juga akan turut dibela. Bagi yang tidak melakukan kesalahan, saya rasa tiada apa yang perlu dikhuatirkan,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 3:45pm
d