mutakhir

PATI 'tembusi' laluan sukar

Oleh Hairulazim Mahmud

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) tidak pernah terfikir pendatang asing tanpa izin (PATI) akan menggunakan laluan hutan simpan kekal yang sukar ditembusi untuk memasuki Malaysia.

Saksi ke-25, Safrul Faiz Abd Satar semasa memaklumkan kepada panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis berkata, laluan sukar itu adalah antara lokasi sempadan negara yang tidak berpagar sepanjang lebih 50 kilometer (km) di Perlis.

Beliau yang juga bekas Pengarah MKN Kedah/Perlis berkata, sempadan darat Malaysia-Thailand di Perlis adalah sepanjang 106 km dengan yang berpagar hanya sepanjang 50 km.

“Saya sangat terkejut kerana ini tidak pernah berlaku di Perlis, kebiasaannya mereka tidak akan guna laluan sukar untuk masuk Perlis.

“Biasanya PATI bertumpu di kawasan landai yang mudah diakses menggunakan kenderaan dari negara jiran,” katanya pada hari kesembilan prosiding di Putrajaya, hari ini.

Panel RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, manakala Timbalan Pengerusi ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pegawai Pengendali ialah Saiful Hazmi Mohd Saad dan Khairul Anuar Abd Halim.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Safrul Faiz yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sempadan Darat MKN Putrajaya berkata, sejak bertugas di Perlis pada 2010 statistik sempadan negara bolos oleh PATI tidak menunjukkan peningkatan dan penurunan ketara.

“Corak kemasukan adalah mendatar, tiada naik atau turun yang ketara berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen,” katanya.

SAIFUL HAZMI: Tadi ada disebutkan mengenai satu mesyuarat, itu mesyuarat apa?

SAFRUL FAIZ: Itu adalah mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Perlis ketika itu Datuk Seri Azlan Man.

SAIFUL HAZMI: Ada tahun-tahun yang menunjukkan kemasukan PATI meningkat?

SAFRUL FAIZ: Selepas 2013 kita dapati pendatang dari Myanmar ada ada peningkatan.

SAIFUL HAZMI: Jadi apakah yang dilakukan oleh agensi terbabit?

SAFRUL FAIZ: Kebanyakan agensi melaksanakan operasi bersepadu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), imigresen, kastam dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

SAIFUL HAZMI: Kawalan sempadan di bawah PGA dan sejauh mana rondaan pasukan itu?

SAFRUL FAIZ: MKN mempunyai tanggungjawab umum dan khusus. Secara umumnya MKN diarahkan menjaga pagar sempadan tapi pada masa sama di sebelah pagar ada jalan keselamatan dan pos keselamatan.

SAIFUL HAZMI : Ada atau tidak pihak PGA maklumkan berapa kawasan yang tiada pos kawalan?

SAFRULFAIZ: Memang kita sedia maklum di Perlis itu ada tiga kawasan utama tiada pos kawalan.

SAIFUL HAZMI : Kawasan tidak berpagar ada kawalan?

SAFRUL FAIZ: Kebanyakan kawasan tidak berpagar ini kami klasifikasi sebagai kawasan yang sukar untuk ditembusi, jauh daripada penduduk dan berada dalam hutan simpan kekal.

SAIFUL HAZMI: Siapa yang kawal pagar sempadan?

SAFRUL FAIZ: Dari Chuping ke Markas Taktikal di Bukit Kayu Hitam dikawal oleh PGA manakala lain-kain oleh ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

SAIFUL HAZMI: Bagaimana anda terbabit dengan kejadian 2015?

SAFRUL FAIZ: Saya dimaklumkan oleh pegawai yang menghadiri mesyuarat pada 20 Januari 2015. Dalam mesyuarat itu ada taklimat wakil PGA yang menyampaikan penemuan khemah transit di Wang Kelian.

SAIFUL HAZMI: Siapa pegawai PGA yang sampaikan taklimat?

SAFRUL FAIZ: Saya dimaklumkan taklimat itu disampaikan oleh ASP Joe King.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 4:48pm
d