mutakhir

Mayat dalam semak

Oleh Farah Suhaidah Othman

MAYAT wanita warga emas ditemui di kawasan semak bersebelahan sebuah kondominium di Bercham, Ipoh, hari ini.

Wanita dianggarkan berusia 80-an itu ditemui terbaring oleh penduduk pada 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika ditemui, mangsa lengkap berpakaian tetapi, identitinya belum dikenal pasti.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka dan calar di beberapa bahagian badan, namun polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kita juga masih belum dapat mengesahkan anggaran masa kematian mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Ali berkata, forensik polis dikejarkan di lokasi bagi menyiasat penemuan itu, sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat

“Siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan setakat ini kita mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: May 14, 2019 @ 5:30pm
d