mutakhir

Kawan tikam kawan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI cedera ditikam rakannya yang menyamun mangsa di sebuah rumah di Lebuhraya Pinggiran, Batu Caves, Gombak semalam.

Dalam kejadian 9.55 malam itu, mangsa yang tinggal berseorangan di rumah didatangi enam rakannya sebelum berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek secara tiba-tiba menyerang mangsa dan berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian belakang.

“Suspek berjaya melarikan barang peribadi mangsa antaranya rantai leher, telefon pintar dan kunci kereta.

“Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa kini stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah disebabkan masalah hutang antara mangsa dengan salah seorang suspek.

“Berikutan itu kumpulan lelaki berkenaan bertindak menyerang dan menyamun mangsa sebelum melarikan diri.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah melakukan operasi sebelum berjaya menahan mereka 8 pagi tadi di Raub, Pahang,” katanya.

Menurutnya, hasil tangkapan itu, polis menemui barangan yang disamun.

“Mereka yang berusia 16 hingga 22 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Selayang esok untuk disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Kes ini dianggap selesai berikutan semua suspek sudah ditahan,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 12:12am
d