mutakhir

[UPDATE] 'Mereka faham ibu sudah tiada'

Oleh Mohd Amin Jalil

“SYUKUR ke hadrat Allah SWT kerana pelbagai pihak menghulurkan bantuan untuk anak saudara saya,” kata Norazila Sahran, 38.

Enam beradik yang juga anak saudaranya iaitu Muhammad Aiman Syazwan Abdullah, 12; Nor Aina Syazwani Mohd Fauzi, 10; Nor Aina Syazlina, 9; Nor Aina Syazlien, 7; Nor Aina Syazlieyana, 5; dan Muhammad Aiman Syazriezal berusia 18 bulan kematian ibu, Nor Amira Sahran, 35, akibat kemalangan di Lubuk China, 25 April lalu.

Ketika ini mereka menumpang kasih di rumah Norazila dan turut dibantu datuk saudara, Sajirin Kassim, 58, di Kampung Legong Ulu, Kota, Rembau.

Norazila berkata, ada ketikanya dia tidak dapat menahan sebak melihat kanak-kanak itu merindui ibu mereka namun dia sudah menjelaskan bahawa ibu mereka sudah tiada.

“Selalunya Aina Syazlina dengan Aina Syazlieyana sering bertanyakan ibu mereka tetapi saya pujuk dan beritahu hal sebenar.

“Berbanding ketika awal pemergian ibu mereka, kini anak arwah sudah dapat memahami situasi sebenar,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumahnya hari ini.

Sumbangan bagi faedah pengurusan jenazah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar.

Turut hadir Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Norazila berkata, Jakel Cawangan Bangi, Selangor tampil menyampaikan sumbangan pakaian raya minggu lalu.

Selain itu katanya, kakitangan GiatMara Rembau turut mengambil tindakan serupa dengan datang ke rumahnya Ahad lalu, bagi mendapatkan saiz badan anak saudaranya bagi tujuan menempah pakaian raya.

Katanya, pihaknya melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap kanak-kanak terbabit menerusi bantuan disampaikan.

“Saya menghargai sumbangan dan bantuan yang meringankan beban kami selain dapat memastikan keperluan pendidikan serta masa depan mereka terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Nallusamy berkata, selain faedah pengurusan mayat, faedah orang tanggungan juga turut diberikan berjumlah RM324 sebulan sehingga usia anak bongsu mencecah 21 tahun.

“Keseluruhan syer yang diterima keluarga ini RM810 merangkumi syer bapa yang akan dituntut selepas keluar penjara,” katanya.

Dalam kejadian 25 April lalu, Nor Amira meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan haiwan di hadapan Ladang Sungai Baru, Kampung Simen di sini, jam 6.30 petang.

Berita berkaitan

6 beradik dapat bantuan [METROTV]

Dulu mama sedia semua

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 12:41am
d