mutakhir

Belum ada peniaga naikkan harga

Oleh Shahrinnahar Latib

KIRA-KIRA 853 premis di 35 bazar Ramadan di Kuantan diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang sejak Isnin lalu bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, seramai 160 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP dengan kerjasama Majlis Daerah Kuantan (MPK) serta agensi berkaitan lain terbabit dalam operasi itu.

“Tumpuan pemeriksaan juga diberikan kepada aspek pematuhan peraturan lain seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga yang tidak munasabah membabitkan barangan makanan atau barangan lain di bazar Ramadan.

“Kita menggunakan pendekatan berhemah ketika melakukan pemeriksaan dengan menasihatkan peniaga atau pemilik premis mematuhi semua peraturan ditetapkan.

“Selain melakukan pemantauan dan pemeriksaan di bazar Ramadan, pegawai dan anggota kita juga melakukan pemeriksaan di pasar raya serta premis perniagaan lain, termasuk stesen minyak sekiranya menerima aduan daripada pengguna,” katanya.

Mohd Suffian berkata, pemantauan berterusan akan dijalankan terutama kepada perniagaan pakaian serta kelengkapan Aidilfitri apabila memasuki minggu ketiga dan terakhir Ramadan.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 10:27am
d