mutakhir

Wajib ada jaket dan alat pemadam api

Oleh Rosli Ilham

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan memperkasakan kempen penggunaan jaket keselamatan dan alat pemadam api kepada nelayan di negeri ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah, berkata, pihaknya mendapati kejadian bot karam yang meragut nyawa dua pemancing pada 9 Mei lalu adalah disebabkan tidak mempunyai jaket keselamatan.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan penggunaan kedua-dua alat keselamatan itu tidak diabaikan.

“Kita akan kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Nelayan Kawasan dan sebagainya,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Bomba Dan Masyarakat di Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun; Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustaman; Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Ab Rahim dan Ketua Balai Bomba Dungun, Saifuddin Muhammad.

Mohamad Shoki berkata, sempena cuti panjang pada minggu hadapan, ramai pemancing luar akan menyewa bot-bot nelayan di negeri ini untuk aktiviti memancing dan mencandat sotong.

“Saya sangat berharap supaya bot-bot nelayan ini membekalkan jaket keselamatan dan alat pemadam api.

“Pemancing yang juga penyewa bot nelayan diminta memastikan bot yang disewa itu dibekalkan jaket keselamatan sebelum keluar ke laut,” katanya.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini boleh menyebabkan berlaku kejadian ribut petir dan ombak kuat yang boleh membahayakan nyawa nelayan dan pemancing.

“Mana-mana pengusaha bot yang gagal menyediakan alat keselamatan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 60 Akta Bomba 341 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

“Kita tidak berniat menyusahkan pengusaha bot nelayan tetapi penggunaan kedua-dua alat keselamatan itu sangat penting bagi mengelak kejadian buruk berulang terutama ketika berada di laut,” katanya.

Beliau berkata, cuti panjang bermula minggu depan juga menyebabkan ramai pelancong akan berkunjung ke negeri ini untuk melakukan pelbagai aktiviti.

“Kita menyarankan mana-mana nelayan atau kelab pacuan empat roda yang akan ke laut atau mahu melakukan aktiviti di dalam hutan supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 10:53am
d