mutakhir

Berniaga kenalah jujur...

Oleh Mohd Amin Jalil

SEGELINTIR peniaga minuman di bazar Ramadan Senawang dikesan tidak menjual air kelapa asli sebaliknya menggunakan bahan perisa kelapa untuk mendapatkan keuntungan lebih.

Ketua Perhubungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Negeri Sembilan, Mohd Fadil Baharuddin berkata, perkara itu amat dikesali dan setakat ini 10 aduan sudah diterima pihaknya.

Katanya, harga kelapa muda antara RM3.50 hingga RM4 sebiji menyebabkan peniaga terpaksa menggunakan bahan perisa bagi menyedapkan air kelapa yang dijual.

“Tindakan itu tidak wajar dan ia amalan tidak sihat dalam perniagaan sekaligus menjejaskan peniaga lain yang menjual air kelapa asli.

“Dalam usaha melariskan jualan dan mengejar keuntungan, peniaga tidak harus menipu atau menganiaya orang ramai,” katanya.

Mohd Fadil berkata, peniaga perlu bertanggungjawab dalam menyediakan makanan dan minuman, tambahan pula dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

“Pihak berkuasa diharapkan dapat menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan. Ramadan sepatutnya dijadikan bulan mendidik dan mengajar peniaga erti keikhlasan, ” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 1:25pm
d