mutakhir

Dipaksa bogel depan rumah

Oleh Farah Suhaidah Othman

KANAK-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai dihukum secara melampau oleh bapa tirinya dengan dipaksa berbogel di hadapan rumah sambil diugut dipukul dengan penyapu di Jalan Kampung Koboi, Taman Doven, Sungai Siput, semalam.

Keadaan dialami kanak-kanak terbabit tersebar melalui rakaman video berdurasi 9 minit 33 saat yang tular di media sosial sejak semalam sebelum ibu saudara mangsa membuat laporan polis.

Berdasarkan rakaman video itu, lelaki yang dipercayai bapa tiri kanak-kanak itu dilihat seperti menghukum mangsa yang dalam keadaan berbogel dan berlutut atas lantai dengan kedua-dua tangannya diangkat ke atas.

Lelaki berkenaan juga dirakam mengacah menghayunkan penyapu dan objek seperti rotan dalam keadaan marah serta seolah-olah ingin memukul mangsa yang kelihatan takut serta menangis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, ibu saudara mangsa membuat laporan polis malam tadi sebaik menyaksikan rakaman video berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki yang berada dalam video berkenaan adalah bapa tiri mangsa berusia dalam lingkungan 20-an.

“Polis akan mendapatkan laporan perubatan kanak-kanak berkenaan sama ada wujud penderaan terhadap mangsa.

“Susulan menerima laporan berhubung kejadian itu, kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khaizam berkata, pihaknya akan mengambil keterangan beberapa saksi kejadian termasuk individu yang merakam dan menularkan video berkenaan bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih dijalankan dan kita akan melengkapkan kertas siasatan dengan secepat mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 2:59pm
d