mutakhir

Atasi masalah kuprum berlebihan [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

MASALAH pengambilan kandungan kuprum berlebihan dalam tubuh badan manusia kini dapat diatasi dengan ciptaan terbaharu penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya menghasilkan inovasi Penapis Air Luaran-Manik Pintar.

Ketua Projek Prof Madya Dr Janet Lim Hong Ngee berkata, penghasilan sistem berkenaan selari dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menetapkan paras selamat kuprum (II) dalam air minuman ialah 1.3 ppm.

“Kandungan tembaga berlebihan dalam air paip menjadi perhatian umum baru-baru ini.

“Walaupun setiap rumah, pejabat atau restoran mempunyai peranti penapisan air, namun beberapa ion kuprum (II) masih dapat melepasi penapis hingga menyebabkan air yang mengandungi jumlah kuprum tidak diketahui diambil atau digunakan kita setiap hari.

“Perlu ambil perhatian, tubuh badan kita memang memerlukan tahap tertentu ion kuprum (II) untuk membantu tubuh menghasilkan sel darah merah dan mengekalkan sel saraf dan sistem imun sihat.

“Namun ion kuprum (II) yang berlebihan dalam air minuman atau sumber alam sekitar lain boleh memberikan kesan buruk terhadap ekosistem dan kesihatan manusia seperti ketoksidan akut dan pelbagai penyakit neurodegeneratif seperti alzheimer dan gangguan keradangan,” katanya kepada media bagi memperkenalkan inovasi berkenaan, hari ini.

Turut hadir rakan penyelidik Dr Izwaharyanie Ibrahim.

Beliau yang juga pensyarah di Institut Teknologi Maju UPM berkata, pendekatan pihaknya menghasilkan sistem penapisan fotosensor-penjerap dwi fungsi berkenaan berupaya mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap pengambilan kuprum dalam tubuh badan manusia.

“Inovasi ini berfungsi menapis dan menentukan ion kuprum (II) dalam air minuman secara langsung dengan hanya menggunakan satu sistem penapisan air, mudah dan kos berpatutan.

“Ia berupaya mengeluarkan dan memantau bilangan ion logam berat yang digunakan atau dimakan dalam air minuman kita,” katanya.

Menurutnya, inovasi menggunakan teknologi nano ‘versatile grahere’ itu yang mengambil masa empat tahun penyelidikan boleh diaplikasikan dalam rawatan dan pemulihan air, makanan dan minuman, perubatan, farmaseutikal serta kosmetik.

“Inovasi ini berjaya menerima tiga pengiktirafan tahun lalu iaitu pingat perak dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi IPTS, tempat pertama Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi dan Anugerah Usahawan Penyelidik, Tahun Pengkomersilan Malaysia serta ciptaan terbaik Kategori Produk Isi Rumah di ITEX, 4 Mei lalu.

“Kita mengalu-alukan kolaborasi rakan strategik bagi masa depan sistem penapis air yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 5:32pm
d