mutakhir

Apa nak jadi ni...

Oleh Hadzlihady Hassan

TAK serik-serik. Itu yang berlaku terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun apabila dia mencuri wang tabung Masjid Kampung Papan, Bukit Mertajam, walaupun pernah ditahan dalam kes sama tidak sampai sebulan lalu.

Malah, kesnya sebelum ini masih dalam proses perbicaraan di mahkamah dan dia dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500.

Kes remaja itu akan disebut semula pada 30 Mei ini sementara mahkamah menunggu laporan akhlaknya.

Bagaimanapun, dia masih belum insaf dan sekali lagi mencuri wang tabung masjid selama tiga hari berturut-turut.

Kejadian itu disedari pengerusi masjid berkenaan yang hairan kerana wang dalam tabung semakin susut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pengerusi masjid bersama timbalannya kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati ada seorang remaja berlegar-legar di luar kawasan tempat ibadat terbabit.

“Suspek kemudian dilihat memancing wang dalam tabung dan perbuatannya itu dilakukan selama tiga hari berturut-turut bermula 10 Mei lalu.

“Mereka juga terkejut apabila mendapati suspek adalah orang sama yang melakukan perbuatan itu April lalu dengan kesnya masih dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan daripada itu satu laporan polis dibuat pengerusi masjid berkenaan.

“Polis berjaya mengesan dan menahan suspek di rumahnya di Permatang Pauh jam 11 malam, Isnin lalu.

“Suspek yang sudah tidak bersekolah itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 5:35pm
d