mutakhir

Lihat demo van EMRS mengundur [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

PROSIDING inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ditunjukkan dengan demonstrasi van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membuat pengunduran hingga melanggar mangsa di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Bagaimanapun, demonstrasi itu tidak menggunakan van sama terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Seafield di Subang Jaya pada malam 27 November tahun lalu.

Saksi inkues ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat penerangan kepada Koroner Rofiah Mohamad dan pihak berkepentingan, pegawai pengendali dan barisan peguam mewakili Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan keluarga Muhammad Adib.

Penerangan itu dibuat pada perbicaraan inkues hari ke-34 sebagai memadankan teori dikemukakan Dr Ahmad Hafizam mengenai kemungkinan perkara berlaku menimpa Muhammad Adib.

Sesi bermula 10.30 pagi hingga 12 tengah hari itu antaranya saksi yang dipanggil semula itu memberikan keterangan dan duduk di bahagian penumpang kiri hadapan van EMRS, sama seperti kedudukan Muhammad Adib ketika kejadian.

Van EMRS berkenaan yang dipandu anggota bomba turut dibawa mengundur dengan kelajuan 17 km/j, seperti hasil dapatan saksi itu.

Prosiding inkues bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 6:23pm
    d