mutakhir

SLDN bantu latihan industri

Oleh Faliq Lajim

PERSATUAN Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) komited untuk membantu golongan sasar melalui kaedah latihan komprehensif yang memenuhi kehendak industri semasa.

Presidennya Datuk Joyah Abd Rashid berkata, pihaknya setakat ini mempunyai lebih 1,000 ahli terdiri daripada pelbagai pusat bertauliah dan syarikat yang melatih golongan sasar berkenaan.

“Golongan belia, Orang Asli dan ibu tunggal menjalani Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pusat bertauliah dan syarikat milik ahli SLDN.

“Mereka dilatih menerusi lima tahap pengajian bermula sijil hingga diploma lanjutan mengikut pilihan masing-masing antaranya kecantikan, jahitan, automobil, penyediaan makanan dan pengurusan masjid.

“Kami komited melahirkan lebih banyak tenaga mahir sekali gus memenuhi keperluan industri melalui pendedahan situasi kerja sebenar dan yang diperlukan industri,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pelajar Tahfiz di Shah Alam malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar.

Sementara itu, Amir berkata, pihaknya giat memperkasakan bidang kemahiran melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

“Kita mensasarkan industri yang sedang berkembang yang mana ia boleh memberi impak dan pendapatan tinggi terutama Industri 4.0,” katanya.

Pada majlis itu, 120 anak yatim dan tahfiz dari Pertubuhan Nur Kasih, Klang; Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Kuala Lumpur serta Tahfiz Ibnu Abbas Desa Pinggiran Putra, Kajang diraikan.

Mereka menerima sumbangan duit raya, telekung, baju kurta, kain pelikat, minuman serta makanan.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 6:39pm
d