mutakhir

TH yakin capai prestasi kewangan lebih kukuh

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

LEMBAGA Tabung Haji (TH) yakin dapat mencapai prestasi kewangan lebih kukuh tahun ini sekali gus mampu mengagihkan hibah lebih daripada 1.25 peratus seperti diumumkan bagi 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zukri Samat berkata, TH merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama tahun ini, berakhir 31 Mac lalu.

“Alhamdulillah, kedudukan kewangan TH bagi suku pertama tahun ini bertambah baik dan kukuh,” katanya ditemui pada Program Bantuan Ramadan dan Raya TH - Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, TH mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus kepada pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Dalam ucapannya, Zukri berkata, pihaknya juga yakin pencapaian prestasi kewangan yang lebih baik akan dapat dicapai TH tahun ini disokong oleh amalan pelaburan yang lebih berhemat, penambahbaikan tadbir urus dan kawal selia lebih baik.

Ditanya sama ada TH akan meningkatkan jumlah subsidi bagi jemaah tahun depan susulan prestasi kewangan lebih kukuh itu, Zukri berkata, ia bergantung kepada prestasi kewangan TH.

Bagaimanapun katanya, semua pihak kena faham bahawa kos mengerjakan meningkat setiap tahun dan pihaknya berharap dapat meneruskan pemberian subsidi itu.

“Belanja menunaikan haji bukan sedikit. Jika kos mengerjakan haji meningkat dan kita masih mengekalkan bayaran RM9,980, sudah tentu tanggungan TH bertambah.

“Jadi sama ada boleh atau tidak (meningkatkan jumlah subsidi), ia perlu bergantung pada prestasi kewangan TH. Justeru, sama-sama kita doakan TH akan terus kukuh,” katanya.

Sementara itu, Zukri berkata, buat pertama kalinya, TH akan menyediakan khemah berhawa dingin di Arafah untuk jemaah berikutan suhu panas yang dijangka memuncak pada musim haji tahun ini.

“Sebelum ini, kita sediakan khemah dengan penyaman udara saja. Disebabkan kemuncak musim panas di Arab Saudi, kita mengambil inisiatif membekalkan pendingin hawa di setiap khemah jemaah untuk memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Zukri menyampaikan sumbangan zakat kepada 200 keluarga asnaf di daerah Sepang membabitkan peruntukan RM1.3 juta.

Menurutnya, sumbangan zakat itu bagi meringankan beban keluarga berkenaan bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Program kerjasama TH dan LZS ini adalah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menghulurkan sumbangan kepada golongan asnaf Ramadan ini,” katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan bayaran zakat TH tahun lalu terus mencatatkan peningkatan 26.6 peratus iaitu RM85.57 juta berbanding RM67.61 juta tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 8:24pm
d