mutakhir

Hathim Thai derita sakit [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“MEMANG rindu untuk menyolek wajah orang tetapi saya terpaksa pendamkan keinginan itu kerana masalah kesihatan yang dihadapi,” kata jurusolek berpengalaman, Hatim Thai Ahmad Nordin, 47, atau lebih dikenali sebagai Hathim Thai.

Hathim berkata, dia tidak aktif sebagai jurusolek sejak lima tahun lalu selepas disahkan menghidap anemia, kegagalan fungsi buah pinggang dan masalah penglihatan.

Meskipun sedih, Hathim berkata, dia reda dengan ketentuan itu dan bersyukur kerana tidak berseorangan sebaliknya masih ada anak angkatnya, Hadzriq Hadkhim, 10, yang dijaga sejak lahir serta tinggal menyewa bersamanya.

“Lima tahun lalu, saya pengsan ketika di rumah dan selepas menyedari keadaan itu, emak terus bawa saya ke hospital.

“Pada waktu itulah, saya dimaklumkan doktor mengenai penyakit ini tetapi tidak memberitahu sesiapa kecuali keluarga dan rakan terdekat.

“Bukan enggan bekerja tetapi mata kanan saya tidak nampak sepenuhnya manakala bahagian kiri pula kabur iaitu hanya pada tahap 30 peratus saja.

“Jadi setiap kali ada individu memerlukan khidmat solekan, saya terpaksa menolak dan memberi alasan terikat dengan tugasan lain kerana enggan mereka tahu penderitaan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sempurna Off Jalan Gombak, Setapak semalam.

Turut menziarahi Hathim adalah penyanyi, Amy Mastura; Pengasas Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil serta bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima, Heliza Helmi.

Bercerita lanjut, Hathim berkata, dia kini bergantung kepada wang simpanan dan bantuan bulanan RM350 daripada Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala rawatan dialisis dibiayai sepenuhnya oleh Baitulmal.

“Selebihnya adalah ihsan rakan dan individu sekeliling namun saya tidak terlalu berharap kerana enggan menyusahkan mana-mana pihak.

“Susah macam mana sekalipun, saya tidak akan minta sesiapa dan cuba berikhtiar termasuk dengan menjual koleksi peribadi seperti jaket yang dibeli hasil pendapatan ketika aktif sebagai jurusolek dulu,” katanya.

Menurutnya, keutamaannya kini adalah membesarkan anak dan memastikannya dapat bersekolah seperti orang lain.

“Alhamdulillah, walaupun ada ketikanya saya kesempitan wang, sewa bulanan rumah RM500 tidak pernah tertunggak.

“Duit sumbangan orang ramai pula saya simpan dan gunakan untuk membeli barangan keperluan untuk dimasak,” katanya yang berpengalaman 25 tahun sebagai jurusolek dan pernah menata rias wajah Ziana Zain serta ramai lagi selebriti terkenal.

Menurut Hathim , dia bersyukur kerana masalah kesihatan tidak menghalangnya untuk berpuasa cuma dia dan anaknya sekadar berbuka serta bersahur dengan makanan yang ada.

Mengenai sambutan Aidilfitri pula, Hathim berkata, tiada persiapan dibuat dan itu yang terpaksa dilaluinya sejak lima tahun lalu.

“Kami tak pernah beraya seperti orang lain dan setiap kali Syawal, saya dan anak hanya duduk rumah.

“Sedih apabila mengenangkan anak kerana tidak dapat membelikannya baju raya tetapi dia faham jauh sekali meminta kerana tahu kemampuan saya.

“Sebab itu, saya sentiasa berdoa supaya dipanjangkan umur kerana mahu membesarkan anak sehingga dia tamat persekolahan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada Hathim boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 114066616039.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 10:45pm
d