mutakhir

Tiada kes keracunan di Terengganu

Oleh Rosli Ilham

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan keracunan makanan dalam tempoh 10 hari pertama Ramadan ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, tiada laporan berhubung kes keracunan makanan diterima sama ada yang dibeli di bazar Ramadan atau dijual di luar kawasan bazar.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus mempergiatkan kempen kebersihan dan keselamatan makanan kepada peniaga makanan di bazar dan luar kawasan bazar Ramadan.

“Walaupun tiada aduan, JKNT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) turun menjalankan pemeriksaan sepanjang masa supaya peniaga ini sentiasa memandang serius isu kebersihan ini,” katanya selepas merasmikan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan dan Pelancaran E-Bazar di Chukai hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kemaman, Osman A Bakar; Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun dan Pegawai Kesihatan daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman.

Sementara itu, Dr Mohd berkata, setakat ini, 64 peniaga bazar Ramadan dikompaun berjumlah RM6,750 atas pelbagai kesalahan dari 6 Mei lalu hingga hari ini.

“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak mendapatkan suntikan vaksin pelalian anti-tifoid, memakai cincin dan gelang, tidak menutup makanan, tidak menghadiri latihan pengendalian makanan serta tidak memakai apron.

“Sepanjang Ramadan tahun lalu, kita mengeluarkan 95 kompaun berjumlah RM7,468,” katanya.

Katanya, sehingga kini, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,404 gerai di bazar Ramadan dan 126 sampel makanan diambil untuk diuji keselamatannya.

“Daripada 2,404 gerai yang diperiksa, 93 peratus diberi penarafan atau dikategorikan sebagai sangat bersih (A) manakala selebihnya mencapai kategori bersih (B).

“Ketika ini, masih terdapat 2,510 gerai yang belum diperiksa dan kita jangka selesai sepenuhnya minggu depan,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2019 @ 11:41pm
d