mutakhir

Biasa buka tepi jalan raya [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Sebotol kecil air mineral dan sebiji kurma menjadi juadah berbuka puasa anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan keadaan lalu lintas terkawal, sekali gus memudahkan perjalanan pengguna jalan raya pulang berbuka di rumah atau ke destinasi masing-masing.

Lebih mengharukan, sebaik selesai berbuka puasa di tepi jalan raya, pasukan terbabit kembali meneruskan tugasan sehingga keadaan lalu lintas terkawal sepenuhnya.

Pengorbanan pasukan keselamatan itu rutin harian mereka sebelum menikmati juadah sebenar jam 9 malam selepas tamat bertugas.

Pegawai Turus Kawalan Lalulintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Superintendan Zamri Basiran berkata, seramai 15 hingga 20 anggota ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota.

“Keadaan trafik pada Ramadan ini cepat sesak dan penyuraian trafik perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kesesakan.

“Waktu puncak bermula jam 5.30 petang hingga jam 9 malam, disebabkan itu anggota dan pegawai bertugas hanya berbuka puasa di tepi jalan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Zamri berkata, dia yang bertugas selama dua tahun di kawalan trafik itu sudah biasa dan ‘terpaksa’ berkorban berbuka bersama anggota lain di tepi jalan.

“Ia menjadi tanggungjawab setiap anggota polis trafik memastikan lalu lintas dalam keadaan lancar dan terkawal tanpa mengira masa.

“Puasa bukan halangan bagi anggota bertugas walaupun panas atau hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Kawalan Lalulintas JSPT Kuala Lumpur Koperal Tengku Ismail Tengku Ibrahim berkata, tugasannya bermula jam 1 tengah hari hingga jam 9 malam.

“Ketika masuk waktu berbuka, anggota perlu berhenti dan menjamah sedikit makanan sebelum meneruskan tugas penyuraian trafik.

“Kami akan mula makan pada jam 9 malam, ketika itu kami makan nasi dan makanan berat yang lain,” katanya.

Katanya, menjadi kebiasaan bagi anggota polis trafik melakukan kawalan lalu lintas berbuka ketika bertugas.

“Kami sudah biasa malah ini tanggungjawab kami kepada masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 6:15am
d