mutakhir

Empat daerah terima kesan ombak besar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

EMPAT daerah di Kedah dijangka akan menerima kesan berikutan ombak tinggi yang diramalkan berlaku pada dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ombak setinggi 2.9 meter dijangka berlaku pada 4 dan 5 Jun depan.

Beliau berkata, empat daerah yang dijangka terkesan dengan ombak tinggi itu adalah di Kuala Muda, Yan, Kuala Kedah dan Langkawi.

“Kita berharap ketika itu tidak berlaku hujan lebat kerana sekiranya berlaku pertembungan ombak besar dan hujan, ia boleh menyebabkan berlakunya air pasang yang mengakibatkan banjir di sekitar daerah itu.

“Namun seramai 150 anggota dan pegawai kami di 10 daerah di negeri ini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian bencana seperti banjir, ribut serta kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat APM Kota Setar ketika Majlis Berbuka Puasa bersama APM Kedah, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, pegawai APM dan 100 anggota APM Kedah.

Saifuddin berkata, orang ramai yang tinggal di pesisir pantai di empat daerah itu dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya hujan lebat berterusan lebih tiga jam.

Beliau berkata, sebarang aktiviti beriadah di tepi pantai juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengancam keselamatan pengunjung selain bot atau sampan kecil yang melakukan aktiviti menangkap ikan di pesisir pantai.

“Seramai 36 anggota di menara penyelamat pantai di lima tempat iaitu empat di Langkawi dan satu di Kuala Muda juga akan bertugas ketika musim perayaan ini.

“Mereka akan memantau dan melakukan rondaan di sekitar pantai untuk memastikan keselamatan pengunjung yang mandi di kawasan berkenaan dan akan meminta pengunjung supaya beredar dari situ jika keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 9:25am
d