mutakhir

Bahaya 'troll' di media sosial

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

SIKAP ‘troll’ yang membarah dalam penggunaan media sosial dipercayai punca remaja perempuan berusia 16 tahun terjun dari tingkat tiga bangunan di MJC Batu Kawa, Kuching, Isnin lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tindakan tidak sensitif terhadap masalah kenalan dalam media sosial, selain suka memperlekehkan perlu dihentikan.

“Saya percaya, warga maya yang mengundi ‘D’ tidak terfikir bahawa perbuatan mereka itu boleh membawa padah. Saya berharap mereka yang terbabit mengambil pengajaran dan bersikap lebih sensitif, bertanggungjawab dan matang dalam perbuatan pada masa depan.

“Gurauan mereka mainkan membawa padah. Remaja yang suka bergurau dan memperlekehkan rakan mereka mampu menimbulkan perasaan malu, tertekan dan kemurungan hingga ke tahap mahu membunuh diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mayat mangsa ditemui jam 8 malam, selepas terjun dari kediaman sewa di bangunan rumah kedai di MJC Batu Kawa.

Remaja berkenaan pada jam 3 petang hari sama membuat undian menerusi akaun Instagram memaparkan dua kotak undian tertulis ‘D’, bermaksud ‘die’, dan ‘L’ bermaksud ‘live’. Sebanyak 69 peratus undian dalam kalangan kenalannya mengundi ‘D’.

Fatimah berkata, ibu bapa dinasihatkan mengambil peduli peri laku anak-anak remaja dan tidak berlengah sekiranya simptom tekanan mula ditunjukkan.

“Statistik menunjukkan bahawa kumpulan remaja Malaysia dibanding dengan kumpulan umur lain adalah paling stres. Kita kena membuang stigma mendapatkan bantuan kaunseling sesuatu yang memalukan,” katanya.

Katanya, antara faktor tekanan yang sering melanda kumpulan remaja ialah desakan rakan sebaya; impak negatif media sosial; keretakan keluarga dan tekanan mendapatkan gred peperiksaan terbaik.

“Kelemahan menguasai kemahiran mengawal stres, kurang sokongan daripada keluarga dan rakan menjadi penyebab kepada kemurungan lebih teruk,” katanya.

Berita berkaitan

Kecewa bapa tiri kahwin lain

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 12:56pm
d