mutakhir

Menangis sedih konon! [METROTV]

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Seorang penganggur menangis ketika membuat rayuan di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, tadi, selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dua remaja perempuan bawah umur di daerah Melaka Tengah, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Shahril Ambry Pazeli, 26, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan hakim Elesabet Paya Wan, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Gadong Perdana kira-kira jam 4 pagi, pada 30 Mac 2018.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Norma, tertuduh didakwa merogol seorang lagi gadis bawah umur yang juga berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Perak, Melaka Tengah, kira-kira jam 3 pagi, pada 28 Ogos 2018 dan jam 9 pagi keesokan harinya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirda Mohd Yunos dan Shazreen Nadia Saaban.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan sambil menangis teresak-esak memohon jumlah jaminannya dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan ibunya kini nazak di hospital.

Norma dalam penghakimannya menawarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu semua mangsa yang juga saksi pendakwaan, manakala Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 2:19pm
d