mutakhir

Satu masjid, seorang pegawai polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS akan menempatkan seorang pegawai di 72 masjid di bawah Kontinjen Kuala Lumpur melalui program 1 Masjid 1 Pegawai Polis (1M1P).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan ahli jawatankuasa masjid itu bertujuan meningkatkan masyarakat dalam aktiviti pencegahan jenayah bagi menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Beliau berkata, seorang pegawai perhubungan masjid akan dilantik untuk berinteraksi serta saling berkongsi maklumat dengan masyarakat dalam usaha mewujudkan persekitaran masjid yang selamat.

“Ini juga bagi mengurangkan jenayah seperti curi motosikal, pecah kenderaan, curi tabung dan curi kasut.

“Justeru itu, program 1M1P adalah sangat relevan dan satu jihad antara masyarakat serta pihak polis dalam aktiviti pencegahan jenayah sekali gus dapat mengimarahkan masjid,” katanya pada Majlis Pelancaran 1M1P di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya berharap kadar jenayah dapat dibendung dan memberi kesedaran kepada ahli kariah dan jemaah dalam aspek keselamatan di persekitaran masjid.

Pada majlis itu juga, Mazlan turut menyampaikan sumbangan kepada balu serta anggota polis yang cedera ketika bertugas.

Katanya, sumbangan itu bagi meringankan beban mereka ketika menjalani ibadah puasa serta persiapan Aidilfitri.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:38pm
d