mutakhir

Kesedaran peniaga hormati Ramadan makin baik

Oleh Yusmizal Dolah Aling

WUJUD kesedaran dalam kalangan peniaga mengenai keperluan menghormati Ramadan berdasarkan Aktiviti Menyantuni dan Penerangan Berunsur Nasihat (AMPUN) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang diadakan sejak minggu lalu.

Ini kerana, maklum balas daripada peniaga mendapati mereka memahami keperluan menghormati bulan puasa dan ia terbukti apabila jumlah mereka tidak menghormati Ramadan semakin berkurangan di premis dikunjungi Bahagian Penguatkuasaan JAWI.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, siri AMPUN diadakan untuk kali ketiga di Putrajaya dan Kuala Lumpur Isnin dan Selasa lalu menunjukkan kesedaran mengenainya semakin meningkat dan ia akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa sebagai pendekatan melalui konsep RAHMAH.

“Dalam siri aktiviti kita pada Isnin dan Selasa lalu, 14 restoran disantuni pegawai diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Akmal Nadzim Abdullah dan sesi penerangan diberikan di lokasi terbabit.

“Ia menjadi kaedah dakwah yang dirasakan perlu untuk berkongsi tuntutan agama selain teguran kepada pemilik premis agar tidak menjual kepada orang Islam.

“Kita edarkan poster Akta Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan yang akan membantu masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Ajib berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan maklum balas diterima daripada peniaga dan ia dapat dijadikan input berguna kepada JAWI untuk melakukan rondaan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559) berkaitan peruntukan tidak menghormati Ramadan.

Beliau berkata, pendekatan itu dirasakan lebih sesuai kerana Islam adalah agama yang mendidik, bukan mengenakan hukuman semata-mata.

Katanya, ia terbukti berkesan di dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat baik peniaga mahu pun orang awam di sekitarnya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 8:49pm
d