mutakhir

TKHM jengah Kampung Ulu Tawar pula

Oleh Shamsul Munir Safini

PERSIAPAN Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2019 dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Kampung Ulu Tawar, Baling kini di peringkat terakhir sebelum ia dilangsungkan pada 25 Mei ini.

Setiausaha Masjid Al Hidayah, Kampung Ulu Tawar, Wan Daud Wan Abu Bakar berkata, persiapan dilakukan termasuk penyediaan khemah, menu berbuka dan mencari keluarga yang bakal dibantu nanti.

Beliau berkata, mereka tidak sabar untuk bersama-sama memeriahkan program TKHM Ramadan yang pertama kali dilangsungkan di situ.

“Kami bersyukur dengan hasrat pihak Harian Metro dan PLUS yang memilih kampung kami bagi mengadakan majlis ini.

“Saya berharap ia berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan persiapan kini sedang giat dijalankan, ” katanya ketika selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarang Eksekutif Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit.

Menerusi program ini, anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin akan diberikan bantuan hamper dan pelbagai barang keperluan lain bagi membolehkan mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri kali ini.

Seramai 200 anak yatim piatu akan dibawa membeli kelengkapan Aidilfitri termasuk baju Melayu, baju kurung, kasut, stokin dan sebagainya sebelum majlis berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Al Hidayah.

Turut disantuni ialah 30 keluarga fakir miskin dan 20 ibu tunggal yang akan dibantu dalam bentuk barang keperluan dapur dan wang tunai.

Dijangkakan hampir 1,000 termasuk sukarelawan, anak yatim dan penduduk kampung akan memenuhi pekarangan Masjid Al Hidayah pada 25 Mei ini.

TKHM menggabungkan konsep sedekah dan amal dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ia adalah perkongsian syarikat korporat dan swasta bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 9:26pm
d