mutakhir

Cadang potong gaji bantu anak yatim

Oleh Norizuan Shamsuddin

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) bercadang membuat pemotongan gaji kakitangan secara sukarela untuk disalurkan kepada Yayasan ATM bagi membantu anak yatim dan saudara baru.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah meluluskan penubuhan yayasan terbabit, minggu lalu.

Katanya, susulan itu pihaknya dalam proses menyiapkan kertas kerja bagi memohon pemotongan gaji warga ATM untuk disumbangkan kepada yayasan terbabit.

“Kami dalam proses memohon kepada Majlis Angkatan Tentera dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat kutipan bulanan kepada anggota tentera.

“Kutipan ini adalah secara sukarela dan boleh dibuat secara bulanan.

“Kita mengalu-alukan seberapa ramai pegawai dan anggota tentera yang berminat bagi membantu anak yatim, saudara baru dan mereka yang kurang bernasib baik dengan membuat pemotongan gaji secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim ATM (STAY ATM) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu 84 anak yatim daripada STAY ATM dan 50 saudara baru dikalangan warga ATM diraikan dan menerima sumbangan yang disampaikan Zulkifli.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 10:04pm
d