mutakhir

'Alhamdulillah, ini hari bertuah kami'

Oleh Idris Musa

“HARI ini adalah hari yang bertuah kerana tidak disangka-sangka menerima sumbangan. Apa disampaikan ini memang kami harapkannya,” kata Pengurus Madrasah Tahfiz Al-Yamani Taman Melewar Abdul Wahid Mat Razi.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan barangan elektrik daripada Panasonic Malaysia (Panasonic) di madrasah itu di Gombak, hari ini

Menurutnya, mereka bersyukur dipilih untuk menerima sumbangan itu yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga madrasah.

“Inilah pertama kalinya syarikat elektronik memberi barang begini yang banyak membantu kami. Sebelum ini tak ada. Alhamdulillah.

“Saya berasa apa (usaya) yang dibuat oleh Panasonic ini amat baik sekali, khususnya di pusat tahfiz kerana memang ada yang agak daif.

“Kita di sini (tidak hadapi masalah kerana) berada di Taman Melewar, yang mana orang sekitar sini (adalah warga) pencen berjawatan tinggi,” katanya.

Sumbangan disampaikan Pengurus Komunikasi Korporat Panasonic Malaysia Mazlee Mokhtar dan Pengurus Kanan Jabatan Inovasi Pemasaran syarikat itu Hoh Li Jiun.

Hadir sama, Pengurus Besar Produksi TV & Digital Primeworks Studio Mas Ayu Ali dan hos program ‘Jom Kejar Bersama Panasonic’ Ammar Titan.

Penyampaian sumbangan itu bersempena program Jom Raya dan Jom Kejar Bersama Panasonic yang mendapat kerjasama Media Prima Berhad (MPB).

Selain penyampaian sumbangan, turut diadakan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah bersama pelajar tahfiz.

Jom Kejar Bersama Panasonic dengan slogannya ‘Cepat, Tepat, Padat’ adalah program tv terbitan Primeworks Studios yang ditayangkan di saluran TV3.

Sementara itu, Mazlee berkata, penyampaian sumbangan perkakas elektrik kepada pusat tahfiz adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pertama kali dilakukan pihaknya.

“Insya-Allah kita akan buat berterusan ke pusat tahfiz yang lain pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 10:20pm
d