mutakhir

'Tangan lebih mulia'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KUALA LUMPUR: “Program makanan percuma ini sangat bermakna bagi mahasiswa kurang berkemampuan tambahan pula baki pinjaman hanya cukup untuk menampung perbelanjaan hingga akhir semester,” luah Sri Mulyati Setu, 23.

Dia yang juga penuntut Sarjana Muda, Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) antara 100 penerima bantuan agihan makanan berbuka puasa menerusi program Senyum Ramadan anjuran Helping Hands Project (HHP) dikendalikan sepenuhnya mahasiswa UM.

Menurutnya, program sedemikian memberi erti yang besar kepada mahasiswa khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah tidak kira dari luar bandar atau bandar.

“Ibu saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM500 sebulan dan saya tidak mahu meminta wang saku khususnya pada penghujung semester selepas wang pinjaman semakin ‘nipis’.

“Jadi program anjuran HHP ini sangat baik untuk membantu mahasiswa daripada berlapar dan mengeluarkan wang untuk membeli juadah berbuka puasa,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Anak sulung daripada dua beradik itu kini terpaksa menggunakan wang saku sebaik mungkin kerana perlu memberi fokus kepada perbelanjaan untuk menyiapkan tugasan tahun akhir.

Penuntut tahun dua Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar, Muhd Zakuwan Abdul Wahid, 22, pula berkata, program Senyum Ramadan ini perlu diteruskan kerana usaha murni ini mampu memberikan kegembiraan kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Katanya, wang yang digunakan untuk membeli juadah berbuka dapat disimpan untuk perbelanjaan harian lain seperti membeli buku rujukan dan menyiapkan tugasan.

“Saya harap usaha murni ini diteruskan bukan saja untuk Fakulti Sastera dan Sains Sosial malah boleh diperluaskan lagi di seluruh fakulti di UM supaya lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat HHP Mohamad Syafiq Anwar Mohd Saidi berkata, program Senyum Ramadan ini menerima sumbangan daripada sebuah restoran yang sudi menaja 100 paket nasi beriyani untuk diagihkan.

Katanya, selepas artikel mengenai usaha HHP membantu mahasiswa yang disiarkan Harian Metro pada 10 Mei lalu, banyak pihak yang tampil untuk menyalurkan bantuan dari pelbagai aspek.

“Saya bersyukur kerana usaha murni bersama rakan yang lain dapat direalisasikan dan membuktikan mahasiswa juga berupaya untuk membantu mahasiswa.

“Usaha ini akan diteruskan pada masa akan datang dan kami menyasarkan 500 paket makanan dapat diedarkan kepada mahasiswa sepanjang lima kali agihan sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 6:00am
d