mutakhir

Pemandu maut ditindih lori

Oleh Ramli Ibrahim

LELAKI warga Myanmar berusia 30 tahun maut selepas ditindih lori yang dipandunya di Ladang Aring 5, dekat Gua Musang, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 10 malam itu, mangsa yang belum diketahui identitinya mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum berjaya dibawa keluar empat jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersendirian memandu lori kosong melalui jalan struktur tanah lembut.

Katanya, kenderaan yang dipandu itu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans terbabas ke bahu jalan di ladang terbabit.

“Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika lori terbabit bergoyang sebelum terbalik menimpanya.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.25 malam dan seramai 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi penyelamat itu menggunakan alat pemotong besi Hydraulic Power Unit Rescue Tools untuk mengeluarkan mangsa yang mengambil masa tiga jam.

“Mangsa ditindih di bahagian kepala lori dan kita mengambil masa untuk mengeluarkannya,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 11:24am
d