mutakhir

Buffet Ramadan wajib ada sijil halal !

Oleh Asrol Awang

Pejabat Agama Islam daerah Kuantan, Pahang, tidak akan berkompromi terhadap pemilik premis makanan yang mengiklan dan promosi hidangan Ramadan tetapi tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Kadi daerah, Abdul Zaki Md Zain berkata, premis makanan bukan pemegang SPHM yang menyediakan menu dan hidangan berbuka puasa supaya tidak membuat sebarang pengiklanan atau promosi yang mengandungi perbahasan halal.

Katanya, antara promosi itu seperti bufet Ramadan, jom iftar, citarasa Ramadan, jom berbuka, selera Ramadan atau bahasa yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan oleh orang Islam untuk berbuka puasa.

“Jika sabit kesalahan, bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan kesalahan yang berulang boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

“Jika bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan yang berulang, didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Abdul Zaki berkata, berdasarkan operasi penguatkuasaan halal Bufet Ramadan Isnin lalu, dua premis makanan di daerah ini diarah menurunkan serta merta semua iklan dan promosi hidangan Ramadan kerana tidak memiliki SPHM.

Katanya, dua pemilik premis terbabit diberi amaran bertulis kerana didapati melakukan kesalahan berkaitan perakuan dan penandaan halal.

“Kesalahan dua premis itu dikesan hasil daripada operasi penguatkuasaan halal sempena Ramadan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa.

“Agensi yang terbabit ialah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Pejabat Kesihatan daerah Kuantan dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Operasi itu dilakukan berdasarkan maklumat awam dan kami melakukan pemeriksaan ke atas empat premis makanan sebelum mendapati dua premis tidak memiliki SPHM,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 12:49pm
d