mutakhir

Tidak mengaku palsu sijil cuti sakit

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PEKERJA syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu, antara Februari dan Mac lalu.

Mohamed Amir Khan Mohamed Yusof, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu masing-masing sekeping sijil cuti sakit kerajaan atas namanya, yang mana diketahui sijil cuti sakit itu adalah palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah syarikat di Jalan Au3/1, Ampang pada 4 dan 15 Februari serta 21 Mac lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan kes tersebut tidak boleh dijamin.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tertuduh adalah penanggung utama keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 3:04pm
d