mutakhir

Dua beranak penagih dadah

Oleh Junaidi Ladjana

DUA beranak antara 13 individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam Operasi Cegah di sekitar Tuaran, malam tadi.

Dua beranak berusia 22 dan 47 tahun itu ditahan ketika leka menghisap dadah di kediaman mereka di Kampung Giling Laut.

Operasi bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi itu membabitkan seramai 10 anggota dan pegawai AADK Tuaran serta negeri.

Ketua Pegawai AADK Tuaran Asraf Hafiz Ruslan berkata, operasi cegah itu dijalankan di dua kampung di daerah ini membabitkan Kampung Giling Tengah dan Kampung Giling Laut.

“Hasil operasi itu menahan 13 lelaki termasuk dua beranak dan tiga pasangan adik-beradik.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia 18 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menghubungi AADK daerah Tuaran di talian 088-788366 atau tampil ke pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2019 @ 3:55pm
d