mutakhir

Gedegang tumpas

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KUMPULAN Gedegang yang aktif melakukan kegiatan mencuri mesin air layan diri tumpas dengan penahanan empat lelaki di beberapa lokasi antara 30 April dan 8 Mei lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh selepas menerima maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Syafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya turut merampas enam mesin air layan diri yang dilarikan suspek dalam operasi terbabit.

Menurutnya, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada pemilik kedai dobi berusia 34 tahun mengenai kehilangan sebuah mesin air layan diri di Saujana Utama di sini, pada 29 April lalu.

“Mangsa membuat pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kecurian itu berlaku antara jam 6.40 pagi dan 8 pagi pada hari berkenaan.

“CCTV berkenaan merakam wajah suspek yang melarikan mesin air layan diri berkenaan selepas dibuka menggunakan alatan hand jack dengan kerugian dianggarkan RM7,600.

“Pengadu turut mendapati empat CCTV di kedai dobi berkenaan dirosakkan dengan permukaannya disembur cat hitam,” katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh, semalam.

Menurut Syafa'aton, bertindak atas maklumat, pihaknya membuat serbuan dan berjaya menahan empat suspek termasuk dua bekas pekerja syarikat mesin air layan diri berusia 23 dan 29 tahun.

Katanya, serbuan berkenaan turut merampas enam unit mesin air layan diri iaitu dua unit di Taman Mawar, Cheras dan masing-masing satu unit di Flat Sri Kota Bandar Tun Razak, Vista Mutiara Kepong, Ipoh, Perak serta Bukit Beruntung.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan suspek berkenaan mendapatkan pelanggan melalui laman sosial Facebook (FB) dan menjual mesin itu pada harga RM3,000 hingga RM4,000 mengikut saiz.

“Mereka turut menyewa lori sebelum menghantar mesin air layan diri yang dicuri itu terus kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah masing-masing kes curi dan dadah.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 1:12am
d